Wednesday, April 07, 2010

Mac 2010 - Jelajah Negeri Perak

Seperti yang telah dijadualkan, Jelajah Negeri Perak telah berjaya dijalankan pada 27 dan 28hb Mac 2010. Peserta Jelajah pada hari pertama terdiri daripada saya, Mie-2807, Along, Syawal, Yus LC, Yusrim(Ex5-s), KDPerak dan Akie(agx861). Kami disambut oleh Teluk Intan Bikers di Menara Condong, Teluk Intan.

Kehadiran seramai 20 buah motor berkuasa besar menambahkan kesungguhan kami untuk menjayakan Jelajah Negeri Perak ini. Walaupun kebanyakan daripada kami mempunyai motor berkuasa sederhana besar namun atas sifat dan persafahaman yang sama, perbezaan itu tidak menghalang kami dari bermesra dan mengenali satu sama lain.

Apabila selesai sarapan pagi bersama Teluk Intan Bikers, kami mengambil kesempatan untuk bergambar sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Melaka. Manakala kami pula bergerak menuju ke Komplek Bersejarah Pasir Salak sebagai tempat pertama persinggahan kami. Perjalanan di ketuai oleh Yus LC dari KDMC (Kelab Duniamoto.Com).

Kami bagaikan kanak-kanak sekolah yang begitu teruja dengan pameran sejarah silam berkaiatan sejarah Pasir Salak. Di sini terdapat pameran dan cerita bagaimana J.W.W Birch dibunuh dan juga terdapat pameran berbagai-bagai jenis keris yang terdapat di rantau Asia. Kami menghabiskan masa hampir 1 jam di Pasir Salak sebelum meneruskan perjalanan melawat bekas Kapal Korek di Chenderoh. Untuk melawat Kapal Korek tersebut setiap orang dikenakan bayaran RM5.00 dimana hasil tersebut adalah sebagai kos pengurusan kawasana tersebut. Kebenaran untuk memasuki bekas Kapal Korek itu di ambil dengan mengambil gambar di setiap sudut yang kami sempat lalui. Mengikut cerita bekas pekerja Kapal Korek ini, kapal ini mampu mengorek sedalam 150 kaki dan mempunyai pekerja seramai 70 orang pada setaip masa. Dengan ketinggian 5 tingkat bangunan ia merupakan sebuah kilang memproses bijih timah terapung yang terbesar pernah kami lawati.

Selepas puas melawat bekas Kapal Korek, kami meneruskan lawatan kami ke Kelly's Castle di Batu Gajah. Memandangkan tiada apa-apa yang boleh dilihat di bahagian dalam Istana Kelly itu, kami mengambil keputusan untuk cuma bergambar di bahagian luar sahaja. Dari sini kami ke Bandaraya Ipoh dimana kami dibawa oleh YUS LC ke Stesen Keretapi Ipoh untuk sesi bergambar sebelum ke Taman Rekereasi Gunung Lang.

Taman Rekerasi Gunung Lang merupakan kawan lombong tinggal yang lama di mana pihak berkuasa tempatan telah menjaganya dengan baik. Terdapat air terjun buatan yang mencurah dari sebuah bukit batu besar seolah-olah kelihatan seperti asli. Manakala di seberang tasik ini terdapat mini Zoo dimana adanya burung kasawari dan rusa. Pada lewat petang kami di bawa ke rumah Cikgu Epoi di Tambun untuk bermalam. Selepas mandi kami sekali lagi keluar beramai-ramai ke Manjoi untuk makan malam bersama ahli-ahli KDMC yang datang dari Kuala Lumpur. Kehadiran kami seramai hampir 50 orang telah memaksa tuan punya Restoran Kelapa menolak kedatang tetamu lain kerana tidak mahu mengecewakan mereka jika terlambat hidangan. Makanan yang disediakan sungguh sedap dan kosnya pula amat murah cuma RM12.00 termasuk dengan air minuman. Peluang diambil untuk berkenalan dengan ahli-ahli KDMC sebelum kami ke bandar Ipoh untuk sesi bergambar sekali lagi. Pada keesokkannya kami bergerak ke Kuala Kangsar selepas sarapan pagi berdekatan dengan Stadium Ipoh. Kami melalui jalan Sg. Siput dan sampai di Kuala Kangsar pada jam 10.30 pagi. Sekali lagi sesi bergambar diadakan di Jambatan Kuala Kangsar, Masjid Ubudiah dan Istana Kenangan.Dari Kuala Kangsar kami semua menuju ke Lenggong untuk makan tengahari di Tasik Raban dan kemudian ke Musium Akeologi Lenggong untuk melihat penemuan Perak Man di musium tersebut. Selepas jam 2.45tgh kami sekali lagi meneruskan perjalanan menuju ke bandar Taiping memlalui Lata Putih dan Kuala Kurau. Jalan yang berliku-liku diambil kesempatan oleh mereka yang berani mencuba kehandalan melayan selekoh yang begitu banyak sebelum sampai ke Taiping. Dari Taiping kami ke Kuala Sepetang untuk merasa Mee Udang yang dikatakan sungguh terkenal. Sememangnya makanan disini terdiri daripada udang dimana setiap jenis pesanan makanan pasti akan diisikan dengan begitu banyak udang. Saya yang memakan Nasi Udang Biasa hanya mampu memakan udang dan sedikit nasinya sahaja. Selesai makan, jam menunjukkan 6.30ptg dan kami bersalaman sesama sendiri sebelum berpisah kerana saya, Mie, Along dan KDPerak akan meneruskan perjalan ke Lumut melalui Terong dan Segari manakala kawan-kawan yang lain akan kembali ke Ipoh.

Kumpulan kecil kami tiba di Lumut pada jam 7.40 malam dan saya mengambil kesempatan untuk mengambil gambar dan membeli sedikit makanan laut untuk di bawa pulang bagi keluarga. Kami sempat juga berjumpa dengan Pait (Faiz) yang kebetulan sedang mencari kami di Lumut hasil dari semakannya di dalam forum Fz150i.co.nr.

Selepas bercerita hampir 20 minit kami meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur melalui jalan Kayan - T.Intan - Bidor dan lebugraya Utara Selatan menuju ke Jalan Duta. Alhamdulillah saya selamat sampai di rumah pada jam 10.30 malam selepas terkena hujan sedikit di sekitar kawasan Rawang dan Sg. Buluh.

Maka berakhirlah sudah Jelajah Negeri Perak yang meninggalkan seribu satu pengalaman dan persahabatan diantara mereka yang sama-sama turut serta dan ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Teluk Intan Biker's kerana sudi menyambut dan membelanja kami sarapan di Teluk Intan. Kepada Kelab Duniamoto.com yang sanggup bersusah payah datang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk makan malam bersama kami di Restoran Kelapa, Ipoh. Penghargaan tinggi saya beri kepada Yus LC dan Yusrim yang telah berjaya menjayakan Jelajah ini tanpa sebarang masaalah. Dan akhir sekali ucapan terima kasih dan syabas kepada semua peserta Jelajah dan yang membantu semasa acara ini diadakan semoga kita bertemu lagi di Jelajah di negeri lain!!