Wednesday, April 20, 2011

OFFROAD ke Endau Rompin (Kg.Peta), Johor



Rancangan untuk meredah hutan Endau Rompin secara OFFROAD dengan motorsikal Aprila Pegaso telah lama difikirkan namun hanya pada 16 hb April 2011 ianya menjadi kenyataan. Bersama Beau dowh (Burhanudin Ramli)kami berdua menuju ke pekan Kluang pada 15hb April 2011 pada jam 3.00 petang. Belum sempat memanaskan badan, kami terpaksa berhenti di tepi MRR2 untuk menunggu hujan reda selama hampir 30 minit. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke pekan Kluang diiringi dengan hujan renyai-renyai sehingga hampir ke daerah Linggi. Kami tiba di Kluang pada jam 7.20 malam dan terus mendaftarkan diri di Hotel Anika Inn.

Keesokannya kami meneruskan perjalanan ke Bt.26 Jalan Kluang /Jemeluang untuk permulaan Offroad kami. Dari simpang Bt26 ini, perjalanan nampak mudah dengan permukaan jalan tanah merah yang tidak banyak berlopak-lopak. Ini mungkin kerana terdapat banyaknya ladang Kelapa Sawit seperti kepunyaan IOI, Kulim, Risda dan lain-lain. Perjalanan sejauh 36km merentasi ladang kelapa sawit merupakan suatu pengalaman baru pada kami dan ianya membuat kami cepat merasa bosan dengan suasana pemandangan yang sama sepanjang jalan. Akhirnya kami memasuki kawasana Hutan Taman Negara Endau Rompin setelah hampir 1 jam menunggang motor di jalan yang berdebu. Tak sampai 5km selepas itu kami berdepan dengan jambatan Sg. Mas yang telah runtuh semasa banjir kilat yang melanda hampir keseluruhan Negeri Johor pada Februari 2011 yang lalu. Kami bernasib baik kerana pihak Taman Negara telah membuat jambatan sementara bagi pegunjung dan penduduk orang asli yang berada di Kg.Peta. Walaupun ianya hampir 1 meter dari permukaan air ianya berada agak jauh kebawah dan kenderaaan yang sesuai untuk menyeberangi adalah dari jenis 4X4, SUV, motor DP dan motor yang berkuasa kecil. Ianya amat sukar untuk di seberangi sekiranya pengunjung memandu kereta tempatan atau kereta yang ketinggiannya rendah.

Dari sini baki perjalanan untuk sampai ke Taman Negara Endau Rompin ialah sejauh 13km, Sepanjang 13km ini terdapat banyak jalan bertar yang telah rosak teruk dan juga terdapat banyak lopak-lopak air yang bertakung. Skill menunggang mountain bike selama hampir 10 tahun banyak membantu saya untuk mengendali Pegaso semasa melalui jalan yang licin lagi berlumpur. Kami tiba pada jam 11.30 pagi dan terus mendaftarkan diri. Kami bermalam di Dormitory dan kos bagi semalam cuma RM20.00. Untuk masuk ke Kuala Marong, Kuala Jasin, NERC, Upih Guling, Buaya Sangkut dan lain2, setiap pengunjung dimestikan bersama Guide.

Keadaan Kg.peta sudah jauh berubah dan tidak seperti tahun 1989 dulu semasa saya menganjurkan Ekspedisi disini. Semasa itu hanya terdapat tidak lebih dari 7 buah rumah Orang Asli yang diperbuat daripada kayu dan atap nipah. Tetapi sekarang sudah ada hampir 30 buah rumah kos rendah, sebuah balai polis dan juga sebuah sekolah 2 tingkat. Yang peliknya jumlah pelajar di sekolah tersebut cuma hanya ada dalam 30 orang. Mungkin pada tahun mendatang akan tercapai hasrat untuk memenuhkan pelajar sekolah rendah tersebut. Kehidupan penduduk Orang Asli disini yang berketurunan Jakun masih sama seperti dulu iaitu sebagai penoreh, pemburu dan ramai juga yang menjadi Guide dan Potter.

Kemudahan asas di Taman Negara ini amat memuaskan dengan adanya Dormitory (asrama), Chalet, Cafe, Dewan Taklimat, Ruang makan dan juga Chalet Keluarga. kami hanya dapat melawat Kg.Peta sekitar 20 minit kerana pada waktu itu hujan agak lebat hingga ke jam 6.00 ptg. Kesempatan diambil pada waktu itu untuk berbual-bual dengan pegawai penguatkusa disini iaitu En Nazarul. Banyak pandangan dari kami selaku pelawat dan juga banyak maklumat yang diperolehi dari beliau berkaitan dengan pekembangan dan persekitaran Taman Negara Endau Rompin.

Perjalanan keluar ke Kahang pada sebelah pagi agak menyukarkan kerana hampir keseluruhan jalan sejauh 13km sehingga Sg.Mas adalah terlalu licin akibat hujan semalam. Pegaso saya tumbang hanya sekali semasa cuba merentasi lopak yang yang dalam dan berselut. Kelajuan kami sehingga Sg.Mas adalah sekitar 25-30km/j sahaja. Hanya apabila kami memasuki kawasan ladang kelapa sawit barulah kelajuan motor dapat ditingkatkan kepada hampir 80-90km/j.